Monday 12 December 2011

Kenali Tokoh | HANS BETHE : GENIUS FIZIK – NUKLEAR

Hans Albretch Bethe merupakan pemenang Hadiah Nobel Fizik pada tahun 1967. Walaupun beliau merupakan seorang yang genius di dalam bidang fizik nuklear, beliau antara saintis yang menentang sekeras-kerasnya pembuatan  senjata nuklear. Walaupun demikian, Bethe yang dilahirkan pada 2 Julai 1906 di Strasbourg Perancis memasang impian dan bermotivasi tinggi untuk menyumbang sesuatu yang signifikan untuk menumbangkan kekuasaan tentera Nazi terutamanya setelah Perancis ditawan. Hans Bethe merupakan anak kepada Profesor Albretch Bethe, seorang ahli psikologi terkenal beragama kristian. Bethe melahirkan rasa kesal dengan berlakunya perampasan kuasa oleh tentera Nazi di bawah kepimpinan Adolf Hitler yang menjadi Canselor Jerman pada tahun 1933. Ketika itu Hans Bethe merupakan pensyarah berjawatan Profesor di Tubingen Universiy, Jerman. Beliau ditamatkan jawatannya kerana ibunya berketurunan yahudi. Hans Bethe dalam biografinya tidak mengaku dirinya berketurunan yahudi dan tidak begitu senang dikaitkan dengan yahudi. Kesal dengan tindakan pihak Nazi, ditambah  pula dengan maklumat yang diperolehi bahawa pihak Jerman terlebih dahulu telah memperolehi teknologi dan pengetahuan pembuatan bom atom, beliau memutuskan untuk bergabung dengan Projek Manhattan (projek bom atom pertama dunia) di Berkeley Amerika Syarikat sebelum berpindah ke Los Alamos, New Mexico setelah dijemput oleh Robert J.Oppenheimer, Bapa Bom Atom. Persetujuan ini pada awalnya sangat ironi dengan sikap beliau selepas Perang Dunia Kedua yang menentang sekeras-kerasnya pembangunan senjata nuklear. Bethe berangkat ke Berkeley ditemani isterinya, Rose Edwald yang merupakan seorang ahli fizik Sinar-X. Bethe dan Boyce McDaniel berbasikal di dalam terowong Cornell Electron Storage Ring Sewaktu remaja, Bethe sangat meminati bidang fizik dan matematik. Setelah memasuki universiti, beliau mula memberi tumpuan pengkhususan dalam bidang fizik kerana menurut beliau, ’matematik terlalu mudah untuk mendapat jawapan’. Berhe memperolehi ijazah PhD dalam bidang fizik dari University of Munich pada tahun 1928 di bawah bimbingan  saintis terkenal seperti Sommerfield, Ernest Rutherford dan Enrico Fermi sebelum berpindah ke Amerika setelah ditawar jawatan Profesor di Cornell University pada tahun 1934. Bethe secara rasmi menjadi warganegara Amerika pada tahun 1941. Setelah Projek Manhattan berjaya dilaksanakan, Bethe kembali ke Cornell dan meneruskan kerjayanya sebagai saintis fizik nuklear di sana.pada tahun 1949, sahabat karibnya Edward Teller, yang juga seorang ahli fizik memujuknya bergabung dalam projek untuk menghasilkan bom hidrogen (H-Bomb). Namun beliau terlebih dahulu menyedari malapetaka yang dasyat akan berlaku sekiranya bom hidrogen dihasilkan. Menurut beliau, seluruh dunia akan mengalami kemusnahan sekiranya perang terus berlaku dan penggunaan senjata merbahaya seperti bom hidrogen dan bom atom terus digunakan. Salah satu jawapannya kepada Edward Teller ialah ’ even if we were to win it, the world not be..like the world we want to preserve. We would lose the things we were fighting for’ . Walaupun dengan hati yang berat kerana terpaksa menentang sahabat karibnya, beliau tetap bertegas dan berjuang untuk mengharamkan penggunaan nuklear sebagai senjata dalam peperangan. Pada tahun 1958, Bethe menjadi ketua penyelidik pelucutan senjata nuklear dunia dan menjadi penasihat sains Amerika dalam pertemuan di Geneva bagi membincangkan larangan ujian nuklear. Beliau turut serta dalam rundingan di Soviet Union pada tahun 1963 untuk melarang sebahagian ujian besar senjata nuklear yang dijalankan oleh negara tersebut. Pada tahun 1992, ketika berusia 86 tahun Bethe menulis surat terbuka kepada seluruh ilmuan dan saintis untuk memboikot penyelidikan senjata nuclear dan senjata pemusnah yang lain seperti senjata kimia dan biologi. Usia yang semakin meningkat tidak pernah melelahkan beliau untuk terus berjuang. Buktinya pada tahun 1997 di usia 91 tahun, Hans Bethe menulis surat kepada Presiden Clinton supaya menamatkan dana penyelidikan bagi semua jenis ujian dan pembangunan senjata nuklear. Usaha-usaha beliau dalam memerangi penggunaan nuklear sebagai senjata untuk tujuan peperangan dan kekerasan telah mendapat banyak pengiktirafan dari universiti-universiti di seluruh dunia. Di samping usahanya berkempen menentang penggunaan senjata nuklear, Bethe tidak pernah beristirehat dalam melakukan penyelidikan. Di usia 93 tahun, beliau masih berupaya membentangkan kertas kerja tentang pengalamannya dalam Projek Manhattan dan perkembangan fizik kuantum. Di Georgia World Congress Centre pada tahun 1999, dalam satu seminar fizik yang dihadiri oleh 11 ribu ahli fizik dan penyelidik dari seluruh dunia, beliau membentangkan dua kertas kerja ilmiahnya yang berjudul ‘Quantum Theory’ dan ‘Nuclear Physics’. Pada tahun 1948, Bethe penyumbang penting tentang asal usul elemen kimia ketika berlakunya The Big Bang. Jurnal ilmiahnya ditulis bersama dengan Ralph Alpher dan George Gamow dan dikenali dengan gabungan nama mereka yang masyhur iaitu ‘Alpha-Beta-Gamma (Alpher-Bethe-Gamow). Beliau juga menulis 3 artikel mengenai teori dan eksperimen nuklear di jurnal Review Modern Physics dan ketiga-tiga artikel tersebut menjadi buku teks rujukan utama penuntut fizik yang mempelajari bidang nuklear. Terdapat beberapa contoh yang menunjukkan geniusnya Hans Bethe dalam bidang fizik. Antaranya ialah ketelitian dan kehebatannya menulis dan menerangkan persamaan-persamaan matematik dan fizik tanpa kesalahan. Bethe selalu dilihat bekerja diantara dua longgokan kertas. Longgokan pertama adalah kertas kosong manakala longgokan kedua adalah tulisan-tulisan serta rumus matematik-fizik yang kompleks yang telah siap disempurnakan. Di hadapannya hanya ada sehelai kertas yang sedang ditulis. Menurut seorang sahabatnya, keseluruhan kertas yang ditulis tidak mempunyai sebarang kesilapan . Richard Feynman sendiri mengakui bahawa Bethe adalah antara gurunya yang terkenal dalam soal-soal ketelitian dalam menulis persamaan. Dalam satu peristiwa, Victor Weisskopf seorang lagi penerima  anugerah nobel fizik pernah bertanyakan kepada Bethe ‘ berapa lama anda dapat menyelesaikan sesuatu pengiraan rumus fizik? Bethe dengan ringkas menjawab, ‘ia barangkali akan mengambil masa 3 hari untuk saya dan 3 minggu untuk kamu. Dan ia ternyata benar, Victor Weisskopf mengambil masa 3 minggu untuk menyelesaikan masalah fizik yang hanya mengambil masa 3 hari bagi Bethe.

Di dalam keseluruhan hidup dan penyelidikan yang dijalankan, kejayaan yang paling bermakna bagi Hans Bethe ialah ketika beliau berjaya mengembangkan teori tindak balas nuklear yang menghasilkan tenaga pada planet bintang. Penemuannya menjelaskan tentang tindak balas yang terjadi pada bintang-bintang yang relatif lebih terang mengikut kitaran karbon-oksigen-nitrogen yang dikenali sebagai Bethe-Weizsacker Cycle. Manakala tindak balas yang terjadi pada matahari dan bintang-bintang yang lebih malap merupakan tindakbalas proton. Penemuan tentang tindak balas tenaga nuklear ini telah menarik perhatian panel penilai Hadiah Nobel dan beliau dinobatkan sebagai pemenang Hadiah Nobel Fizik pada tahun 1967. Menurut sahabatnya ‘ Bethe is a remarkable combination of a truly great scientist who has also made major contributions in the public service of his nation’. Hans Bethe yang mempunyai hobi mengumpul setem dan membaca kisah sejarah meninggal dunia di usia 99 tahun pada tahun 2005.


No comments: